Orang
Melayu memang terkenal dengan kepakarannya mengungkapkan ungkapan dengan buah
fikiran secara halus yang mengandungi makna tersirat. Ungkapan ini kebiasaanya
diungkap untuk menyampaikan sesuatu berbentuk nasihat atau teguran mahupun
pujian dalam bentuk halus dengan mengambil kira perasaan orang lain dengan
mengaplikasikan keindahan alam dalam ungkapan tersebut. Menurut Koh Boh Boon
(1992), bahasa Melayu amat kaya dengan bahasa kiasan yang dapat disifatkan
sebagai ‘mutiara’ bahasa Melayu. Bahasa kiasan mencerminkan kebudayaan dan
gambaran minda Melayu sejak dahulu. Menurut Abdullah Hassan dan Ainon Mohd
(1994), Bahasa kiasan tergolong dalam dua jenis iaitu peribahasa dan bukan peribahasa.
Bahasa kiasan yang sudah mantap dari segi bentuk dan maknanya disebut sebagai
peribahasa manakala kiasan yang tidak mantap bentuk dan maknanya disebut
sebagai bukan peribahasa. (Abdullah Hasan dan Ainon Mohd, 1994).
Menurut Za’ba, Peribahasa ialah segala susunan kata yang pendek atau ringkas yang melekat pada mulut orang ramai sejak beberapa lama oleh kerana sedap dan bijak perkataannya, luas dan benar tujuannya sebagai perbandingan, teladan dan pengajaran. (Za’ba, 2002: 152). Peribahasa terdiri daripada perumpamaan, pepatah, kiasan, ibarat, bidalan, perbilangan dan simpulan bahasa. Perumpamaan merupakan sejenis peribahasa yang mempunyai makna tersirat di sebalik susunan kata-kata yang membentuk perumpamaan. Perumpamaan dibentuk unutk membandingkan sesuatu perkara dengan yang lain dengan perbandingan makna yang sangat jelas kerana ia didahului oleh perkataan seolah-olah, bak, seperti, laksana, macam, bagai, dan umpama. (Abdullah Hassan & Ainon Mohd, 1994: 347). Perumpamaan membawa maksud yang berbeza daripada maksud asal perkataan yang digunakan dan umumnya mengandungi pengajaran. Salah satu contoh perumpamaan ialah “bagai sirih pulang ke gagang”. Perumpamaan ini secara tersiratnya membawa makna sesuatu yang sesuai atau kena pada tempatnya. Sebagai contoh, sejauh mana seseorang itu merantau akhirnya pulang ke tempat asalnya.
Namun begitu, mengapakah perkataan ‘sirih’ dan ‘gagang’ digunakan? dan kenapa bukan perkataan lain yang digunakan untuk menggantikannya? Hal ini demikian kerana, perkataan ‘sirih’ dan ‘gagang’ sendiri sudah bersesuaian dengan maksud perumpamaan tersebut selain perkataan tersebut sememangnya sinonim dengan masyarakat pada zaman dahulu. Menurut Kamus Dewan Edisi Keempat, perkataan ‘sirih’ membawa maksud sejenis tumbuhan (pokok renek yang memanjat dan daunnya dimakan dengan pinang, gambir, kapur dan lain-lain). Daun sirih menjadi salah satu makanan utama kepada masyarakat melayu pada zaman dahulu kerana daun sirih ini mempunyai banyak khasiatnya. Menurut artikel Harian Metro, antara khasiat daun sirih ialah
- menghilangkan sakit tekak, bengkak di bahagian tekak dan batuk berkahaksebagai pencuci bahagian faraj bagi menangani masalah keputihan
- menghilangkan bau, gatal-gatal atau jangkitan bakteria,
- membantu menyejukkan badan dan mengecutkan saluran peranakan untuk wanita berpantang,
- menghalang dan menghentikan hidung berdarah, (v) menghilangkan gatal kulit seperti kurap dan kayap,
- membantu menghilangkan bisa dan bengkak kesan gigitan serangga dan tebuan,
- menghilangkan atau meneutralkan bau badan, bau mulut, bau bahagian alat sulit yang tidak menyenangkan,
- Mengurangkan demam panas serta kembung kanak-kanak,
- menghilangkan sakit kepala, gatal dan kelemumur,
- membantu menghilangkan parut jerawat dan jeragat selain melembapkan kulit, melebatkan bulu kening dan dijadikan masker,
- sebagai bahan pembalut untuk tangan terseliuh atau patah, dan
- merawat penyakit sendi dan bisa tulang.
Perkataan ‘gagang’ pula, menurut Kamus Dewan Edisi
Keempat membawa makna:
- tangkai (bunga, gayung dll),
- hulu (keris, tombak dll), dan
- bahagian pucuk ranting atau batang pokok yang melata atau melilit. Penggunaan perkataan ‘gagang’ dalam perumpamaan ini membawa maksud tangkai kepada daun sirih tersebut.
Jadi, penggunaan ‘sirih’ dan ‘gagang’ kerana tangkai
daun sirih yang diputuskan daripada pokoknya jika diletakkan semula pada
bahagian asal tidak akan nampak cacat celanya.
Kesimpulannya, penggunaan perumpamaan “bagai sirih
pulang ke gagang” amat sesuai kerana membawa makna sesuatu yang kena atau
sesuai pada tempatnya asalnya sesuai dengan sifat daun sirih yang diputuskan
tangkai dengan daunnya tetapi jika diletakkan bersama masih sesuai dan tiada
cacat celanya. Jadi, penggunaan gabungan perkataan dalam perumpamaan ini menunjukkan
bahawa masyarakat Melayu pada zaman dahulu sangat kreatif dalam menggandingkan
alam semula jadi dengan perlakuan manusia.
Rujukan
Abdullah Hassan & Ainon Mohd
(1994). Tatabahasa Dinamika. Kuala Lumpur:
Utusan Publications & Distributors Sdn. Bhd.
Kamus
Dewan Edisi Keempat (2010). Kuala Lumpur: Dewan Bahasa dan Pustaka.
Koh Boh Boon
(1992). Peribahasa Melayu dan Peribahasa
Cina Satu Perbandingan Ringkas. Kuala Lumpur: Dewan Bahasa dan Pustaka.
Zainal Abidin
Ahmad (2002). Ilmu Mengarang Melayu /
Zainal Abidin Ahmad (Za'ba); dengan pengenalan oleh Asmah Haji Omar . Kuala
Lumpur: Dewan Bahasa dan Pustaka.
Siti Nadirah Hafidzin (2015). Keistimewaan
Daun Sirih. http://www.hmetro.com.my/node/26233.
Tarikh Akses 10 April 2015 : 12.50 AM.
No comments:
Post a Comment