Monday, 20 April 2015

ISU 7: Kata Hubung yang mengaplikasikan maksud yang berbeza-beza dalam Ayat.

  DAN
Kata penghubung dan menggandingkan dua unsur.



Maksud
Contoh ayat
Menggandingkan klausa. Dalam penggandingan klausa, unsur kedua merupakan lanjutan cerita daripada klausa pertama.
Cuti sekolah akan bermula tidak lama lagi dan kami sekeluarga akan balik ke kampung.

Menggandingkan dua subjek

Aini dan Ahmad merupakan pasangan kembar tidak seiras.
Menggandingkan dua predikat.

Saya memanggil dia dan mengajak dia ke rumah saya untuk majlis kesyukuran.

Menggandingkan dua objek
Emak menyuruh adik ke kedai untuk membeli garam dan gula.




 TETAPI
Kata penghubung tetapi mempunyai komponen makna berlawanan kerana tetapi menggandingkan dua proposisi yang berlainan satu sama lain.

Maksud
Contoh Ayat
Menggandingkan keseluruhan dua klausa atau dua predikat.
Saya tidak suka makan petai, tetapi itulah kegemaran suami saya

Dalam penggandingan keseluruhan klausa biasanya penghilangan kata dalam gatra tersebut. Penghilangan disyaratkan oleh persamaan kata dalam dua gatra yang sama dalam klausa yang berkenaan.
Suami saya suka makan petai, tetapi saya tidak.

SEBALIKNYA
Kata hubung melainkan mempunyai dua maksud iaitu kecuali dan sebaliknya. Dalam konteks ayat kadang-kadang ketiga-tiga kata tidak boleh bertukar ganti. Contohnya: 

                      I.        Pertuturan baku boleh digunakan dalam situasi rasmi, sebaliknya/melainkan pertuturan pasar digunakan dalam urusan tidak rasmi.

                    II.        Pertuturan baku boleh digunakan dalam situasi rasmi kecuali pertuturan pasar digunakan dalam urusan tidak rasmi.


Kata hubung sebaliknya juga merupakan kata penghubung pertentangan merupakan konjungsi koordinatif yang menghubungkan dua klausa yang sama dengan mempententangkan kedua-dua klausa dalam ayat tersebut.

               
MALAHAN

Maksud
Contoh Ayat
Menunjukkan dua keadaan; keadaan yang kedua menokok tambah kepada yang disebut lebih awal. Bahagian pertama biasanya mempunyai ungkapan penafian bukan sahaja atau tidak sahaja, sedangkan ayat kedua boleh menggunakan juga untuk penegasan.
Orang yang bersalah itu tidak sahaja dikurung, malahan disuruh bekerja juga.
Padahal atau sedangkan
Dia nampaknya tidak mahu pergi, malahan bergerak dari tempat duduk pun tidak.


Sunday, 19 April 2015

ISU 6 : Perbezaan Dato' dan Datuk

Pada kali ini, penulis akan membincangkan berkaitan penggunaan gelaran 'Dato' ' atau 'Datuk'.
      
     Di Malaysia, penggunaan gelaran ini digunakan bagi membezakan taraf kedudukan sosial seseorang individu tersebut berdasarkan pencapaian mereka tanpa mengira  bidang sekalipun seperti bidang politik, hiburan, sukan, perniagaan, dan sebagainya. Perbezaan ini bergantung kepada gelaran yang diperolehi seperti Tan Sri, Dato Sri, Tun, Dato', Datuk, dan sebagainya. Perbezaan gelaran berdasarkan pangkat ini hanya digunakan di Malaysia dan kebanyakan negara lain seperti Amerika Syarikat, Australia dan sebagainya, tiada gelaran tertentu digunakan untuk membezakan tahap kedudukan seseorang individu itu dalam organisasi sosial. Perbezaan yang biasa digunakan oleh mereka Mr, Mrs dan Miss  dan gelaran itu bertujuan untuk merujuk kepada perbezaan jantina dan status perkahwinan seseorang yang juga digunakan di Malaysia seperti Encik (bagi lelaki yang sudah berkahwin/ belum berkahwin), Puan (bagi perempuan yang sudah berkahwin) dan Cik (bagi perempuan yang belum berkahwin).

Isu pada kali ini ialah "Bagaimana membezakan gelaran Dato' dan Datuk?"

Menurut Pusat Rujukan Persuratan Melayu (PRPM), Terdapat perbezaan antara penggunaan Dato' dan Datuk. Perbezaan ini bergantung kepada jenis penganugerahan yang diterima. Perbezaannya adalah seperti berikut: 

Dato'

Dato' ialah gelaran kehormat yang diterima bagi penerima Anugerah Darjah Kebesaran yang dianugerahkan oleh Kerajaan Negeri yang diketuai oleh Sultan atau Raja Negeri-Negeri Melayu.

Contoh: Dato' Siti Nurhaliza, Dato' Lim Kok Beng dan Dato' Omar Osman.

** Tiada Istilah Dato digunakan tetapi istilah Dato'. Dibezakan dengan kehadiran (') di belakang. 

Datuk

Datuk ialah gelaran kehormat yang diterima bagi penerima Anugerah Darjah Kebersaran yang dianugerahkan oleh Kerajaan Persekututan dan Kerajaan Negeri yang diketuai oleh Yang Dipertua seperti Melaka, Sarawak, dan Sabah.

Contoh: Datuk Lee Chong Wei, Datuk Nicol Ann David, dan Datuk Sharifah Aini.



Rujukan

Pusat Rujukan Persuratan Melayu. http://prpm.dbp.gov.my/Search.aspx?k=kebesaran&d=10. Tarikh Akses 19 April 2015 : 8:04 PM. 

Saturday, 18 April 2015

ISU 5 : Mengapakah Penggunaan "Bagai Sirih Pulang Ke Gagang" dalam Peribahasa Melayu

Orang Melayu memang terkenal dengan kepakarannya mengungkapkan ungkapan dengan buah fikiran secara halus yang mengandungi makna tersirat. Ungkapan ini kebiasaanya diungkap untuk menyampaikan sesuatu berbentuk nasihat atau teguran mahupun pujian dalam bentuk halus dengan mengambil kira perasaan orang lain dengan mengaplikasikan keindahan alam dalam ungkapan tersebut. Menurut Koh Boh Boon (1992), bahasa Melayu amat kaya dengan bahasa kiasan yang dapat disifatkan sebagai ‘mutiara’ bahasa Melayu. Bahasa kiasan mencerminkan kebudayaan dan gambaran minda Melayu sejak dahulu. Menurut Abdullah Hassan dan Ainon Mohd (1994), Bahasa kiasan tergolong dalam dua jenis iaitu peribahasa dan bukan peribahasa. Bahasa kiasan yang sudah mantap dari segi bentuk dan maknanya disebut sebagai peribahasa manakala kiasan yang tidak mantap bentuk dan maknanya disebut sebagai bukan peribahasa. (Abdullah Hasan dan Ainon Mohd, 1994). 

Menurut Za’ba, Peribahasa ialah segala susunan kata yang pendek atau ringkas yang melekat pada mulut orang ramai sejak beberapa lama oleh kerana sedap dan bijak perkataannya, luas dan benar tujuannya sebagai perbandingan, teladan dan pengajaran. (Za’ba, 2002: 152).  Peribahasa terdiri daripada perumpamaan, pepatah, kiasan, ibarat, bidalan, perbilangan dan simpulan bahasa. Perumpamaan merupakan sejenis peribahasa yang mempunyai makna tersirat di sebalik susunan kata-kata yang membentuk perumpamaan. Perumpamaan dibentuk unutk membandingkan sesuatu perkara dengan yang lain dengan perbandingan makna yang sangat jelas kerana ia didahului oleh perkataan seolah-olah, bak, seperti, laksana, macam, bagai, dan umpama. (Abdullah Hassan & Ainon Mohd, 1994: 347). Perumpamaan membawa maksud yang berbeza daripada maksud asal perkataan yang digunakan dan umumnya mengandungi pengajaran.  Salah satu contoh perumpamaan ialah “bagai sirih pulang ke gagang”. Perumpamaan ini secara tersiratnya membawa makna sesuatu yang sesuai atau kena pada tempatnya. Sebagai contoh, sejauh mana seseorang itu merantau akhirnya pulang ke tempat asalnya.

Namun begitu, mengapakah perkataan ‘sirih’ dan ‘gagang’ digunakan? dan kenapa bukan perkataan lain yang digunakan untuk menggantikannya? Hal ini demikian kerana, perkataan ‘sirih’ dan ‘gagang’ sendiri sudah bersesuaian dengan maksud perumpamaan tersebut selain perkataan tersebut sememangnya sinonim dengan masyarakat pada zaman dahulu. Menurut Kamus Dewan Edisi Keempat, perkataan ‘sirih’ membawa maksud sejenis tumbuhan (pokok renek yang memanjat dan daunnya dimakan dengan pinang, gambir, kapur dan lain-lain). Daun sirih menjadi salah satu makanan utama kepada masyarakat melayu pada zaman dahulu kerana daun sirih ini mempunyai banyak khasiatnya. Menurut artikel Harian Metro, antara khasiat daun sirih ialah
  1. menghilangkan sakit tekak, bengkak di bahagian tekak dan batuk berkahaksebagai pencuci bahagian faraj bagi menangani masalah keputihan                 
  2. menghilangkan bau, gatal-gatal atau jangkitan bakteria, 
  3. membantu menyejukkan badan dan mengecutkan saluran peranakan untuk wanita berpantang,
  4. menghalang dan menghentikan hidung berdarah, (v) menghilangkan gatal kulit seperti kurap dan kayap, 
  5. membantu menghilangkan bisa dan bengkak kesan gigitan serangga dan tebuan, 
  6. menghilangkan atau meneutralkan bau badan, bau mulut, bau bahagian alat sulit yang tidak menyenangkan, 
  7. Mengurangkan demam panas serta kembung kanak-kanak, 
  8.  menghilangkan sakit kepala, gatal dan kelemumur, 
  9. membantu menghilangkan parut jerawat dan jeragat selain melembapkan kulit, melebatkan bulu kening dan dijadikan masker, 
  10. sebagai bahan pembalut untuk tangan terseliuh atau patah, dan 
  11.  merawat penyakit sendi dan bisa tulang.
Oleh hal demikian, masyarakat melayu pada zaman dahulu amat mementingkan kesihatan dan kerana itulah perkataan ‘sirih’ sangat sinonim dengan mereka.

 Perkataan ‘gagang’ pula, menurut Kamus Dewan Edisi Keempat membawa makna:
  1.    tangkai (bunga, gayung dll),
  2.     hulu (keris, tombak dll), dan
  3.  bahagian pucuk ranting atau batang pokok yang melata atau melilit. Penggunaan perkataan ‘gagang’ dalam perumpamaan ini membawa maksud tangkai kepada daun sirih tersebut.
Jadi, penggunaan ‘sirih’ dan ‘gagang’ kerana tangkai daun sirih yang diputuskan daripada pokoknya jika diletakkan semula pada bahagian asal tidak akan nampak cacat celanya.

Kesimpulannya, penggunaan perumpamaan “bagai sirih pulang ke gagang” amat sesuai kerana membawa makna sesuatu yang kena atau sesuai pada tempatnya asalnya sesuai dengan sifat daun sirih yang diputuskan tangkai dengan daunnya tetapi jika diletakkan bersama masih sesuai dan tiada cacat celanya. Jadi, penggunaan gabungan perkataan dalam perumpamaan ini menunjukkan bahawa masyarakat Melayu pada zaman dahulu sangat kreatif dalam menggandingkan alam semula jadi dengan perlakuan manusia. 



Rujukan

Abdullah Hassan & Ainon Mohd (1994). Tatabahasa Dinamika. Kuala Lumpur: Utusan Publications & Distributors Sdn. Bhd.

Kamus Dewan Edisi Keempat (2010). Kuala Lumpur: Dewan Bahasa dan Pustaka.

Koh Boh Boon (1992). Peribahasa Melayu dan Peribahasa Cina Satu Perbandingan Ringkas. Kuala Lumpur: Dewan Bahasa dan Pustaka.

Zainal Abidin Ahmad (2002). Ilmu Mengarang Melayu / Zainal Abidin Ahmad (Za'ba); dengan pengenalan oleh Asmah Haji Omar . Kuala Lumpur: Dewan Bahasa dan Pustaka.

Siti Nadirah Hafidzin (2015). Keistimewaan Daun Sirih. http://www.hmetro.com.my/node/26233. Tarikh Akses 10 April 2015 : 12.50 AM.




Friday, 10 April 2015

ISU 4 : Kesalahan Kata Sendi Nama 'Dari' dan 'Daripada'

Isu yang akan dibahaskan pada kali ini ialah berkaitan dengan kesalahan penggunaan kata sendi nama dari dan daripada dalam ayat. Pada kali ini, penulis akan menfokuskan kepada kesalahan penggunaan kata sendi nama dari dan daripada dalam berita atas talian ‘online’. Penulis memilih berita atas talian sebagai fokus utama dalam pencarian data kerana berdasarkan pemerhatian, penulis mendapati terdapat banyak berlaku kesalahan penggunaan kata sendi nama dari dan daripada dalam berita yang disiarkan.

Kata sendi nama merupakan perkataan yang diletakkan di hadapan frasa nama. Walaupun semua kata sendi nama hadir di hadapan kata nama atau frasa nama, namun tiap-tiap satu mempunyai tugas atau fungsi yang berlainan dan penggunaannya ditentukan oleh peraturan khusus. (Nik Safiah Karim et. al, 2010: 265). Kata sendi nama juga dikenali sebagai kata depan atau preposisi. (Liaw Yock Fang, 1985: 75). Kata sendi nama berbeza dengan kata lain kerana kata sendi nama tidak mendapat sebarang imbuhan walaupun ada beberapa kata sendi nama yang berimbuhan dan kata sendi nama juga tidak boleh berdiri sendiri tanpa bantuan kata lain (morfem terikat). (Liaw Yock Fang, 1985: 75).

kata sendi nama dari

kata sendi nama dari digunakan di hadapan kata nama atau frasa nama yang menyatakan arah, tempat atau waktu. Contoh penggunaan kata sendi nama dari yang tepat dalam ayat:

(i)            Kita memerlukan banyak pelaburan dari luar negeri.
(ii)           Minah baru balik dari sungai.

Berdasarkan contoh (i) dan (ii), penggunaan  kata sendi nama dari hadir sebelum frasa nama dan kata nama ‘luar negeri’ dan ‘sungai’.

Namun begitu, kesalahan penggunaan kata sendi nama dari pada kedudukan yang salah banyak terdapat dalam berita atas talian, antaranya:

(i)            "Setelah mendapat berita dari kakak, saya bergegas ke lapangan terbang ini dan pihak MAS...”
(ii)           Dari bakat melukis itu kami mula sedari banyak berkongsi minat dan ...
(iii)          Ada kira-kira 60 restoran makanan halal di Jepun dan dari jumlah itu, sebanyak 23 restoran terletak di Tokyo..

Berdasarkan ketiga-tiga data yang dijumpai, ketiga-tiga data tersebut mengandungi kesalahan dalam penggunaan kata sendi nama dari. kata sendi nama dari dalam ketiga-tiga ayat tersebut hadir sebelum kata nama yang bukan bersifat menyatakan arah, tempat atau waktu. Sepatutnya, ketiga-tiga data ini menggunakan kata sendi nama daripada dalam ayat tersebut, seperti:

(iii)          "Setelah mendapat berita daripada kakak, saya bergegas ke lapangan terbang ini dan pihak MAS...”
(iv)         Daripada  bakat melukis itu kami mula sedari banyak berkongsi minat dan ...
(v)          Ada kira-kira 60 restoran makanan halal di Jepun dan daripada  jumlah itu, sebanyak 23 restoran terletak di Tokyo.

Kata sendi nama daripada

Kata sendi nama daripada pula hadir di hadapan kata nama atau frasa nama yang menyatakan punca bagi manusia, haiwan, benda dan unsur mujarad, sumber atau asal kejadian sesuatu benda dan perbezaan atau perbandingan. Contoh penggunaan kata sendi nama daripada yang tepat dalam ayat:

(vi)         Pemain sarkas itu menerima bola daripada beruangnya.
(vii)        Dia menjauhkan diri daripada dadah.

Berdasarkan contoh (vi) dan (vii), penggunaan  kata sendi nama daripada hadir sebelum frasa nama dan kata nama ‘beruangnya’ dan ‘dadah’.

Namun begitu, kesalahan penggunaan kata sendi nama daripada pada kedudukan yang salah banyak terdapat dalam berita atas talian, antaranya:

(viii)        ...lebih daripada tiga bulan lebih awal daripada tarikh asal penyerahan dalam perjanjian.

Berdasarkan data yang dijumpai, data tersebut mengandungi kesalahan dalam penggunaan kata sendi nama daripada. kata sendi nama daripada dalam ayat tersebut hadir sebelum kata nama yang bersifat menyatakan waktu. Sepatutnya, ketiga-tiga data ini menggunakan kata sendi nama dari dalam ayat tersebut, seperti:

(vii)  ...lebih daripada tiga bulan lebih awal dari tarikh asal penyerahan dalam perjanjian.

Kesimpulannya, terdapat banyak berlaku kesalahan dalam penggunaan kata sendi nama dari dan daripada dalam berita yang merupakan medan menyampaikan maklumat kepada masyarakat. Masalah ini harus ditangani untuk membuktikan bahawa negara kita mementingkan bahasa yang betul dan memartabatkan bahasa Melayu.




Rujukan:

Liaw Yock Fang (1985). Nahu Melayu Moden. Singapura : Pusataka Nasional PTE LTD. 

Nik Safiah Karim et. al. (2010). Tatabahasa Dewan Edisi Ketiga. Kuala Lumpur : Dewan Bahasa dan Pustaka.

Roslan Ibrahim. (2015. Seronok menggelongsor & berguling atas salji. http://www.hmetro.com.my/node/36430, Tarikh akses 11 April 2015: 10.12 AM.

Tiada nama.  (2014). Sapura Kencana mulakan kerja lebih awal daripada jadual di Brazil. http://www2.bharian.com.my/articles/SapuraKencanamulakankerjalebihawaldaripadajadualdiBrazil/Article/, Tarikh akses 11 April 2015: 10:35 AM.

Tiada nama. (2014).  Adik begitu teruja pulang beraya di kampung - Abang Mangsa. http://www2.bharian.com.my/bharian/articles/Adikbegituterujapulangberayadikampung-AbangMangsa/Article/?mutakhir=1, Tarikh akses 11 April 2015: 10.00 AM.

Zaidi Mohamad. (2014). Wan Raja pilih Kakak Emma Maembong sebagai bakal isteri.  http://www.bharian.com.my/node/21319 , Tarikah akses 11 April 2015: 10.05 AM.










Thursday, 9 April 2015

ISU 3: 'Pisang goreng' atau 'goreng pisang'?

Rajah 1

Rajah 2

Isu yang akan dibahaskan pada kali ini ialah berkaitan dengan penggunaan istilah ‘goreng pisang’ (seperti Rajah 1) atau ‘pisang goreng’ (seperti Rajah 2). Kebiasaannya kita biasa melihat penggunaan istilah ‘goreng pisang’ (seperti Rajah 1) untuk merujuk kepada frasa nama ‘pisang yang digoreng’, tetapi penggunaan istilah tersebut telah menyalahi hukum D-M. Hukum D-M digolongkan dalam frasa nama. Menurut Tatabahasa Dewan, hukum D-M  adalah singkatan bagi (D) diterangkan dan (M) menerangkan. (Nik Safiah Karim et al, 2010:376). Dalam peraturan ini, unsur yang diterangkan itu merupakan unsur inti yang hadir pada kedudukan pertama dan unsur menerangkan merupakan unsur penerang yang hadir pada kedudukan yang kedua. (Nik Safiah Karim et al, 2010:376). Seharusnya bentuk yang betul ialah ‘pisang goreng’ kerana merujuk kepada kata nama ‘pisang’ sedangkan kata ‘goreng’ merujuk kepada kata kerja. kata ‘pisang’ merupakan unsur inti dalam frasa tersebut yang terdiri daripada kata nama manakala ‘goreng’ merupakan unsur penerang yang hadir untuk menerangkan kepada inti tersebut.

Selain itu, penggunaan istilah ‘pisang goreng’ dikatakan lebih tepat kerana istilah ‘pisang goreng’ merujuk kepada frasa nama. Menurut Nahu Melayu Moden, frasa nama ialah frasa yang boleh menggantikan kata nama di dalam ayat. (Liaw Yock Fang, 1985: 155). Selain itu, binaan frasa nama terdiri daripada dua konstituen iaitu subjek dan predikat nama. (Asmah Hj Omar, 1993:250). Dalam membentuk frasa nama, unsur yang membentuk dua konstituen utama ayat-ayat dasar bahasa Melayu terdiri daripada:
(i)            FN+FN
(ii)           FN+FK
(iii)          FN+FA
(iv)         FN+FS

Inti dalam frasa tersebut haruslah terdiri daripada frasa nama atau kata nama sebagai subjek. Jadi, penggunaan istilah yang tepat untuk merujuk kepada frasa nama ialah ‘pisang goreng’ (seperti Rajah 2) kerana 'pisang' ialah frasa nama atau kata nama manakala 'goreng' ialah frasa kerja. Jadi, penggunaan kata nama haruslah sebagai subjek untuk membentuk frasa nama dan kata kerja berada pada kedudukan predikat atau sebagai penerang kepada kata nama tersebut. 

Namun begitu, istilah ‘goreng pisang’ tidak dikatakan salah atau tidak boleh digunakan dalam bahasa Melayu tetapi istilah ini hanya boleh digunakan dalam konteks yang berlainan iaitu bukan merujuk kepada frasa nama tetapi frasa kerja. Istilah ‘goreng pisang’ boleh merujuk kepada perbuatan menggoreng pisang tersebut. Contoh ayat:
(v)          Ibu goreng pisang.
(vi)         Ibu menggoreng pisang.

Kedua-dua ayat iaitu (v) dan (vi) merujuk kepada perbuatan menjadikan sebagai. (Asmah Hj Omar, 1993: 121).

Jadi penggunaan ‘pisang goreng’ lebih tepat untuk merujuk kepada frasa nama manakala ‘goreng pisang’ juga tepat tetapi daripada konteks yang berbeza iaitu daripada aspek perbuatan atau frasa kerja.




Rujukan:
Asmah Omar (1993). Nahu Melayu Mutakhir Edisi Keempat. Kuala Lumpur : Dewan Bahasa       dan Pustaka.

Liaw Yock Fang (1985). Nahu Melayu Moden. Singapura : Pusataka Nasional PTE LTD.        

Nik Safiah Karim et al (2010). Tatabahasa Dewan Edisi Ketiga. Kuala Lumpur : Dewan Bahasa dan Pustaka.


Wednesday, 8 April 2015

ISU 2: Perbezaan kedudukan 'inti' dalam frasa mengikut Nahu Melayu Mutakhir (Asmah Hj Omar) dan Tatabahasa Dewan (Nik Safiah Karim et. al)

Frasa bilangan ialah frasa yang menunjukkan jumlah atau bilangan yang mempunyai kaitan dengannya. (Asmah Hj Omar, 1993:271). Frasa bilangan terbahagi kepada dua iaitu frasa bilangan kardinal dan frasa bilangan ordinal. (Asmah Hj Omar, 1993:271).  Frasa bilangan kardinal ialah frasa bilangan yang mengambil kata bilangan kardinal sebagai intinya yakni kata nombor atau kuantiti. (Asmah Hj Omar. 1993: 271). Menurut keterangan NMM, Rumus bagi frasa bilangan kardinal terdiri daripada: 

Inti + (Ket2) + (Ket1)

Berdasarkan rumus tersebut, Inti kepada rumus tersebut  terdiri daripada kata bilangan. Manakala Ket1 dan Ket2 masing-masing terdiri daripada kata nama dan pejodoh bilangan.. Kedua-dua keterangan iaitu Ket1 dan Ket2 boleh hadir bersama-sama tetapi ada kalanya yang wujud hanya Ket1 dan ada kalanya hanya wujud Ket2. (Asmah Hj Omar, 1993:271). Contoh data berdasarkan rumus tersebut ialah:

            (1) ...bapa kepada empat anak ini hairan kenapa beratus ekor ayam...
            (2) ... kebakaran membabitkan tiga buah rumah... 

Menurut keterangan daripada NMM, kata ‘beratus’ dan ‘tiga’ merupakan inti dalam frasa tersebut dan kerana itulah frasa tersebut dikenali sebagai frasa nama manakala ‘ayam’ dan ‘rumah’ pula merupakan ket1. 

Perkara yang dipertikaikan dalam bab ini ialah fungsi kata bilangan kardinal. Menurut NMM, kata bilangan kardinal merupakan inti dalam frasa tersebut dan sekaligus frasa tersebut ialah frasa bilangan. (Asmah Hj Omar, 1993:271). Pendapat ini berbeza dengan pendapat daripada Tatabahasa Dewan (TBD). 

Menurut TBD, kata nama merupakan inti sebenar dalam frasa kerana kata nama tersebut merupakan isi utama yang ingin disampaikan dalam ayat tersebut. (Nik Safiah Karim, 2010: 363). Inti ialah unsur yang diberi penumpuan makna dan mewakili seluruh frasa itu dari segi makna, sementara penerang atau penentu merupakan unsur yang menerangkan makna dalam inti itu. (Nik Safiah Karim, 2010: 363). Menurut TBD, binaan frasa nama inti + penerang terdiri daripada dua jenis iaitu (i) inti + penerang nama dan (ii) inti + penerang bukan nama. (Nik Safiah Karim, 2010: 364). Kata bilangan merupakan penerang bukan nama yang tergolong dalam penerang penentu hadapan. (Nik Safiah Karim, 2010: 371). Menurut TBD, kata bilangan bukanlah inti tetapi penentu hadapan iaitu unsur-unsur yang hadir di hadapan kata nama dan unsur-unsur itu terdiri daripada kata bilangan yang boleh diikuti oleh penjodoh bilangan. (Nik Safiah Karim, 2010: 372). Contohnya: 

Rajah 1: Binaan Frasa Nama (Inti + Penerang Penentu Hadapan)









(Nik Safiah Karim, Farid M.Onn, Hashim Haji Musa dan Abdul Hamid Mahmood (2010). Tatabahasa Dewan Edisi Ketiga. Kuala Lumpur : Dewan Bahasa dan Pustaka)

Berdasarkan Tatabahasa Dewan, kata nama merupakan inti kepada frasa tersebut dan frasa tersebut ialah frasa nama. Jadi, ‘askar’, ‘bangunan’, ‘penonton’, ‘senapang’, ‘kelengkapan’, ‘pekerja’, dan ‘kambing’ merupakan inti dalam frasa tersebut dan ‘lima’, ‘sepuluh’, ‘beratus-ratus’, ‘beberapa’, ‘segala’, ‘kesemua’, dan ‘kelima-lima’ merupakan kata bilangan yang merupakan penentu kepada kata nama tersebut serta ‘orang’, ‘buah’, ‘pucuk’, dan ‘ekor’ merupakan penjodoh bilangan yang juga penentu kepada kata nama tersebut.

Kesimpulannya, inti dalam frasa tersebut merupakan kata yang terdiri daripada golongan kata nama dan bukannya kata bilangan atau penjodoh bilangan. Hal ini demikian kerana, kata nama tersebut merupakan isu utama yang ingin disampaikan dan kata bilangan tersebut sekarang penerang atau ‘modifier’ dalam ayat tersebut dan sifatnya adalah opsyenal.


Rujukan

Asmah Omar (1993). Nahu Melayu Mutakhir Edisi Keempat. Kuala Lumpur : Dewan Bahasa       dan Pustaka.

Nik Safiah Karim, Farid M.Onn, Hashim Haji Musa dan Abdul Hamid Mahmood (2010). Tatabahasa Dewan Edisi Ketiga. Kuala Lumpur : Dewan Bahasa dan Pustaka.

Liaw Yock Fang (1985). Nahu Melayu Moden. Singapura : Pusataka Nasional PTE LTD.

Berita Harian, (2014), Ayam Tiba-tiba Diam Sebelum Tsunami Melanda,  http://www.bharian.com.my/node/25584, Tarikh Akses  4 April 2015: 10.18 pm.

Berita Harian, (2015), Warga Emas Rentung dalam Kebakaran di Tanah Merah, http://www.bharian.com.my/node/41582, Tarikh Akses 4 April 2015: 11.00 pm.



Tuesday, 7 April 2015

ISU 1: ISU BAHASA DALAM DRAMA MELAYU


Isu yang akan diketengahkan pada kali ini ialah berkaitan dengan isu bahasa dalam drama Melayu. Seperti yang kita semua sedia maklum, drama Melayu yang merupakan media tumpuan remaja pada masa kini. Golongan remaja lebih tertumpu kepada drama Melayu terutamanya drama yang bertemakan percintaan. Jadi, drama merupakan salah satu media yang memainkan peranan penting sebagai wahana penyebaran penggunaan bahasa kepada golongan remaja. Namun, perkara sebaliknya berlaku iaitu media ini bertindak sebagai penyumbang kepada kerosakan bahasa terutama golongan remaja. 

Berdasarkan pemerhatian saya, salah satu penyumbang kepada kerosakan bahasa dalam drama Melayu ialah penggunaan bahasa rojak. Fenomena kemasukan bahasa asing dalam drama Melayu menjadi lumrah di Malaysia. Drama Melayu kini lebih banyak menggunaan bahasa rojak dalam skrip mereka. Menurut Awang Sariyan (2004), dalam bidang linguistik atau ilmu bahasa, sebenarnya tidak pernah wujudnya istilah bahasa rojak. Istilah ini ditimbulkan oleh sejumlah orang yang melihat adanya fenomena bahasa yang bercampur dengan bahasa asing. 

Penggunaan istilah 'percampuran kod' juga boleh menggantikan istilah bahasa rojak ini. Percampuran kod atau bahasa rojak merupakan istilah yang digunakan untuk menggambarkan perbuatan mencampuradukkan lebih daripada satu. Menurut Bokamba (1988: 24), percampuran kod bermaksud penggunaan berbagai-bagai unit linguistik seperti imbuhan, kata, frasa, dan klausa daripada satu sistem tatabahasa yang berlainan dalam satu ayat dan memerlukan minimum dua bahasa yang peraturannya diintegrasikan dalam satu ayat. Menurut Kamus Dewan pula, Menurut Kamus Dewan Edisi Keempat, bahasa rojak merupakan bahasa atau kata-kata yang bercampur aduk digunakan oleh penutur seperti seketika menggunakan bahasa Melayu dan seketika lagi menggunakan bahasa Inggeris. 

Contoh penggunaan bahasa rojak dalam drama Melayu ialah: 


(Pada minit ke 6:53)
Anis: Kau tahu tak, dia bergambar dengan dr Amar. Dr Amar siap upload dalam FB   dia kot.

(Pada minit ke 17:41)

Azlan: I nak kat U Erin. I betul-betul mintak maaf. I janji dengan U, I takkan buat semua tu lagi eh. Please, kesian kat I.

(Data diambil daripada sedutan drama 'Suami Sebelah Rumah' arahan Hj Azman Hj Yahya (Jinggo))

Berdasarkan kedua-dua contoh yang diberikan iaitu skrip yang telah dipetik dari drama 'Suami Sebelah Rumah', didapati penggunaan bahasa rojak amatlah ketara. Penggunaan bahasa Melayu dicampur dengan bahasa Inggeris seperti I, U, upload, dan Please sangat sinonim dengan drama ini. Walhal, kata dalam bahasa Inggeris tersebut boleh digantikan dengan penggunaan kata daripada bahasa Melayu seperti I merujuk kepada saya, U (you) merujuk kepada awak, dan Please merujuk kepada tolong.

Penggunaan kata seperti ini meskipun dilihat sebagai sesuatu yang remeh atau tidak memberikan kesan negatif, tetapi penggunaan kata seperti inilah mendorong golongan remaja untuk menggunakan bahasa tersebut dan semakin hari penguasaan bahasa Melayu dalam kalangan remaja semakin tipis. Selain itu,  fenomena seperti ini akan secara tidak langsung akan menghakis ketulenan bahasa Melayu secara perlahan-lahan dalam kalangan masyarakat. Apabila ketulenan bahasa kita mula terhakis, ini sekali gus menurunkan kedudukan bahasa Melayu dan seterusnya negara memiliki bangsa yang gagal berkomunikasi menggunakan bahasa ibunda mereka dengan baik.

Kesimpulannya, penggunaan bahasa rojak sangatlah ketara pada masa kini terutama dalam drama-drama Melayu. Ini merupakan sesuatu yang tidak baik kerana ini akan mempengaruhi golongan remaja terutamanya kerana drama sebegini menjadi tumpuan kepada golongan remaja. Perkara sebegini haruslah di atasi sebelum menjadi semakin serius. Banyak pihak perlu memainkan peranan penting, terutamanya Perbandanan Kemajuan Filem Nasional (Finas) dalam menapis semula filem atau drama yang disiarkan.