Thursday, 9 April 2015

ISU 3: 'Pisang goreng' atau 'goreng pisang'?

Rajah 1

Rajah 2

Isu yang akan dibahaskan pada kali ini ialah berkaitan dengan penggunaan istilah ‘goreng pisang’ (seperti Rajah 1) atau ‘pisang goreng’ (seperti Rajah 2). Kebiasaannya kita biasa melihat penggunaan istilah ‘goreng pisang’ (seperti Rajah 1) untuk merujuk kepada frasa nama ‘pisang yang digoreng’, tetapi penggunaan istilah tersebut telah menyalahi hukum D-M. Hukum D-M digolongkan dalam frasa nama. Menurut Tatabahasa Dewan, hukum D-M  adalah singkatan bagi (D) diterangkan dan (M) menerangkan. (Nik Safiah Karim et al, 2010:376). Dalam peraturan ini, unsur yang diterangkan itu merupakan unsur inti yang hadir pada kedudukan pertama dan unsur menerangkan merupakan unsur penerang yang hadir pada kedudukan yang kedua. (Nik Safiah Karim et al, 2010:376). Seharusnya bentuk yang betul ialah ‘pisang goreng’ kerana merujuk kepada kata nama ‘pisang’ sedangkan kata ‘goreng’ merujuk kepada kata kerja. kata ‘pisang’ merupakan unsur inti dalam frasa tersebut yang terdiri daripada kata nama manakala ‘goreng’ merupakan unsur penerang yang hadir untuk menerangkan kepada inti tersebut.

Selain itu, penggunaan istilah ‘pisang goreng’ dikatakan lebih tepat kerana istilah ‘pisang goreng’ merujuk kepada frasa nama. Menurut Nahu Melayu Moden, frasa nama ialah frasa yang boleh menggantikan kata nama di dalam ayat. (Liaw Yock Fang, 1985: 155). Selain itu, binaan frasa nama terdiri daripada dua konstituen iaitu subjek dan predikat nama. (Asmah Hj Omar, 1993:250). Dalam membentuk frasa nama, unsur yang membentuk dua konstituen utama ayat-ayat dasar bahasa Melayu terdiri daripada:
(i)            FN+FN
(ii)           FN+FK
(iii)          FN+FA
(iv)         FN+FS

Inti dalam frasa tersebut haruslah terdiri daripada frasa nama atau kata nama sebagai subjek. Jadi, penggunaan istilah yang tepat untuk merujuk kepada frasa nama ialah ‘pisang goreng’ (seperti Rajah 2) kerana 'pisang' ialah frasa nama atau kata nama manakala 'goreng' ialah frasa kerja. Jadi, penggunaan kata nama haruslah sebagai subjek untuk membentuk frasa nama dan kata kerja berada pada kedudukan predikat atau sebagai penerang kepada kata nama tersebut. 

Namun begitu, istilah ‘goreng pisang’ tidak dikatakan salah atau tidak boleh digunakan dalam bahasa Melayu tetapi istilah ini hanya boleh digunakan dalam konteks yang berlainan iaitu bukan merujuk kepada frasa nama tetapi frasa kerja. Istilah ‘goreng pisang’ boleh merujuk kepada perbuatan menggoreng pisang tersebut. Contoh ayat:
(v)          Ibu goreng pisang.
(vi)         Ibu menggoreng pisang.

Kedua-dua ayat iaitu (v) dan (vi) merujuk kepada perbuatan menjadikan sebagai. (Asmah Hj Omar, 1993: 121).

Jadi penggunaan ‘pisang goreng’ lebih tepat untuk merujuk kepada frasa nama manakala ‘goreng pisang’ juga tepat tetapi daripada konteks yang berbeza iaitu daripada aspek perbuatan atau frasa kerja.




Rujukan:
Asmah Omar (1993). Nahu Melayu Mutakhir Edisi Keempat. Kuala Lumpur : Dewan Bahasa       dan Pustaka.

Liaw Yock Fang (1985). Nahu Melayu Moden. Singapura : Pusataka Nasional PTE LTD.        

Nik Safiah Karim et al (2010). Tatabahasa Dewan Edisi Ketiga. Kuala Lumpur : Dewan Bahasa dan Pustaka.


11 comments:

  1. Nak tanya kalau perkataan pasir sungai, yg betulnya "pasir sungai" ke "sungai pasir".

    ReplyDelete
  2. Kurang setuju...tidak kah anda tahu dalam kebanyakan bahasa-bahasa di dunia ada pengecualian (exceptions) dalam penggunaan frasa-frasa sehinggakan ada yang menganggap bahasa inggeris mempunyai lebih banyak exceptions dari rules. Dalam BM pun ada pengecualian ini. Saya setuju dengan kupasan akedemi terhadap isu-isu bahasa melayu tetapi saudara gagal menyebut apa-apa tentang pengecualian. Saya kata frasa yang betul adalah "goreang pisang" walaupun ianya tidak selari dengan hukum-hukum seperti yg suadara bincangkan. Bahasa itu indah, bahasa melayu itu cantik dan poetic, jadi janganlah kita terlalu mendesak dengan hukum-hukum. Saya lebih selesa berkata "saya nak beli goreng pisang".

    ReplyDelete
    Replies
    1. Saya pula lebih selesa berkata pisang goreng. Keselesaan tdk mnghalalkan hukum bhs. Biasakan yg betul n betulkan yg salah.

      Delete
    2. kita ikutkan logik, pisang goreng ke goreng pisang, anda nampak goreng dulu ke pisang dulu?? anda nampak terbang dulu ke kapal dulu(kapal terbang),, anda berjanji dulu baru bertemu ke, bertemu dulu baru berjanji tuk bertemu(janjitemu/temujanji)

      Delete
  3. PISANG GORENG adalah betul. Org tak sebut LEMAK NASI. Org sebut NASI LEMAK. Org tak sebut MASIN IKAN, org sbt IKAN MASIN. Cth kesalahn yg biasa: ASAM LAKSA sepatutnya LAKSA ASAM, JERUK PETAI sptnya PETAI JERUK, dsbnya

    ReplyDelete
    Replies
    1. dan juga temujanji/janjitemu, sos cili/cili sos

      Delete
    2. Goreng pisang adalah nama sejenis makanan.
      Ia tidak merujuk kepada perbuatan menggoreng pisang. Walaupun ia boleh juga bermaksud sedemikian. Kena tengok konteks ayat.

      Delete
  4. Bagaimana pula dgn kedai goreng pisang atau kedai pisang goreng

    ReplyDelete
  5. Ayat menggunakan cucur pisang

    ReplyDelete
  6. Kadang bahasa negeri sdh terbiass dgn sesuatu nama.
    Kat negeri saya org panggil goreng Pisang.

    ReplyDelete